Tuesday, May 08, 2012

Buah Rindu (1941) ~ Tengku Amir Hamzah

Cempaka
Cempaka, aduhai bunga pelipur lara
Tempat cinta duduk bersemayam
Sampaikan pelukku, wahai kusuma
Pada adinda setiap malam.

Sungguh harum sedap malam
Sungguh pelik bunga kemboja
Tetapi tuan, aduhai pualam
Pakaian adinda setiap masa.

Sungguh tak kelihatan ia berbunga
Cempaka tersembunyi dalam sanggul
Tetapi harumnya, aduhai kelana
Di dalam rambut duduk tersimpul.

Amat bersahaja cempaka bunga
Putih arona, hijau nen tampuk
Pantas benar suntingan adinda
Terlebih pula di sanggul duduk.

Cempaka Mulia
Kalau kulihat tuan, wahai, suma
Kelopak terkembang harum terserak
Hatiku layu sejuk segala
Rasakan badan tiada dapat bergerak

Tuan tumbuh tuan hamba kembang
Di negeriku sana di kuburan abang
Kemboja bunga rayuan
Hatiku kecu melihat tuan

Bilamana beta telah berpulang
Wah, Semboja siapatah kembang
Di atas kuburku, si Dagang Layang?

Kemboja, kemboja bunga rayuan
Hendakkah tuan menebarkan bibit
Barang sebiji di atas pangkuan
Musafir lata malang berakit?

Melur takku mau
Mawar takku suka
Sebab semboja dari dahulu
Telah kembang di kubur Kanda.

Kemboja bunga rayuan
Musafir anak Sumatera
Pulau Perca tempat pangkuan
Bilamana fakir telah tiada.

Purnama Raya
Purnama raya
Bulan bercahaya
Amat cuaca
Ke mayapada

Purnama raya
Pungguk merayu
Dinda berseloka
Ayahda beradu

Purnama raya
Gembala berdendang
Tuan berkata
Naiklah abang

Purnama raya
Bujang berbangsi
Kanda mara
Memeluk dewi

Purnama raya
Bunda mengulik
Nyawa adinda
Tuan berbisik

Purnama raya
Gadis menutuk
Setangan kuraba
Pintu diketuk

Purnama raya
Bulan bercengkerama
Beta berkata
Tinggallah nyawa

Purnama raya
Kelihatan jarum
Adinda mara
Kanda dicium

Purnama raya
Cuaca benderang
Permata kekanda
Pulanglah abang ….

Buah Rindu 1
Dikau sambur limbur pada senja
Dikau alkamar purnama raya
Asalkan kanda bergurau senda
Dengan adinda tajuk mahkota.

Di tuan rama-rama melayang
Di dinda dendang sayang
Asalkan kanda selang-menyelang
Melihat adinda kekasih abang.

Ibu, seruku ini laksana pemburu
Memikat perkutut di pohon ru
Sepantun swara laguan rindu
Menangisi kelana berhati mutu.

Kelana jauh duduk merantau
Di balik gunung dewala hijau
Di seberang laut cermin silau
Tanah Jawa mahkota pulau ….

Buah kenanganku entah ke mana
Lalu mengembara ke sini sana
Haram berkata sepatah jua
Ia lalu meninggalkan beta.

Ibu, lihatlah anakmu muda belia
Setiap waktu sepanjang masa
Duduk termenung berhati duka
Laksana Asmara kehilangan seroja.

Bonda waktu tuan melahirkan beta
Pada subuh kembang cempaka
Adakah ibu menaruh sangka
Bahwa begini peminta anakda?

Wah kalau begini naga-naganya
Kayu basah dimakan api
Aduh kalau begini laku rupanya
Tentulah badan lekaslah fani.

Buah Rindu 2
Datanglah engkau wahai maut
Lepaskan aku dari nestapa
Engkau lagi tempatku berpaut
Di waktu ini gelap gulita.

Kicau murai tiada merdu
Pada beta bujang Melayu
Himbau pungguk tiada merindu
Dalam telingaku seperti dahulu.

Tuan ayuhai mega berarak
Yang meliputi dewangga raya
Berhentilah tuan di atas teratak
Anak Langkat musyafir lata.

Sesaat, sekejap mata beta berpesan
Padamu tuan aduhai awan
Arah manatah tuan berjalan
Di negeri manatah tuan bertahan?

Sampaikan rinduku pada adinda
Bisikkan rayuanku pada juita
Liputi lututnya muda kencana
Serupa beta memeluk dia.

Ibu, konon jauh tanah Selindung
Tempat gadis duduk berjuntai
Bonda hajat hati memeluk gunung
Apatah daya tangan tak sampai.

Elang, Rajawali burung angkasa
Turunlah tuan barang sementara
Beta bertanya sepatah kata
Adakah tuan melihat adinda?

Mega telah kusapa
Margasatwa telah kutanya
Maut telah kupuja
Tetapi adinda manatah dia!

Buah Rindu 3
Puspa cempaka kanda kirimkan
Pada arus lari ke laut
Akan duta kanda jadikan
Pada adinda kasih terpaut.

Teja bunga seroja dalam taman
Kemala hijau di atas mahkota
Orang berikan pada kekanda
Tiada kuambil kerana tuan.

Adakah gemerlapan bagi kemala
Adakah harum lagi seroja
Pada beta tumpuan duka
Sebab tuan lalu mengembara.

Tuan lalu tiada berkata
Haram sepatah sepantun duli
Kanda tinggal penuh wangsangka
Pilu belas di dalam hati.

Hatiku rindu bukan kepalang
Dendam beralik berulang-ulang
Air mata bercucur selang-menyelang
Mengenangkan adik kekasih abang.

Diriku lemah anggotaku layu
Rasakan cinta bertalu-talu
Kalau begini datangnya selalu
Tentunya kekanda berpulang dahulu.

Tinggalah tuan, tinggalah nyawa
Tinggal juita tajuk mahkota
Kanda lalu menghadap dewata
Bertelut di bawah cerpu Maulana.

Randa pohonkan tuan selamat
Ke bawah kaus dewata rahmat
Moga-moga tuan hendaklah mendapat
Kesukaan hidup ganda berlipat.

Buah Rindu 4
Kalau kekanda duduk menyembah
Duli dewata mulia raya
Kanda pohonkan untung yang indah
Kepada tuan wahai adinda.

Randa puja dewa asmara
Merestui remaja adik kekanda
Hendaklah ia sepanjang masa
Mengasihi tuan intan kemala

Anak busurnya kanda gantungi
Dengan seroja suntingan hauri
Badannya dewa kanda lengkapi
Dengan busur sedia di jari.

Sudah itu kanda pun puja
Dewata mulia di puncak angkasa
Memohonkan rahman beribu ganda
Ia tumpahkan kepada adinda.

Tinggallah tuan, tinggallah nyawa
Sepanjang hari segenap masa
Pikiran kanda hanyalah kemala
Dilindungi Tuhan Maha Kuasa.

Baik-baik adindaku tinggal
Aduhai kekasih emas tempawan
Kasih kanda demi Allah kekal
Kepada tuan emas rayuan ….

Kalau mega berarak lalu
Bayu berhembus sepoi basah
Ingatlah tuan kanda merayu
Mengenangkan nasib salah tarah.

Kalau hujan turun rintik
Laksana air mata jatuh mengalir
Itulah kanda teringatkan adik
Duduk termenung berhati kuatir.

Kusangka
Kusangka cempaka kembang setangkai
Rupanya melur telah diseri ….
Hatiku remuk mengenangkan ini
Wasangka dan was-was silih berganti.

Kuharap cempaka baharu kembang
Belum tahu sinar matahari ….
Rupanya teratai patah kelopak
Dihinggapi kumbang berpuluh kali.

Kupohonkan cempaka
Harum mula terserak ….
Melati yang ada
Pandai tergelak ….

Mimpiku seroja terapung di paya
Teratai putih awan angkasa ….
Rupanya mawar mengandung lumpur
Kaca piring bunga renungan ….

Igauanku subuh , impianku malam
Kuntum cempaka putih bersih ….
Kulihat kumbang keliling berlagu
Kelopakmu terbuka menerima cembu.

Kusangka hauri bertudung lingkup
Bulu mata menyangga panah Asmara
Rupanya merpati jangan dipetik
Kalau dipetik menguku segera.

Tinggallah
Tinggallah tuan, tinggallah bonda
Tanah airku Sumatera raya
Anakda berangkat ke pulau Jawa
Memunggut bunga suntingan kepala.

Pantai Cermin rumu melambai
Selamat tinggal pada anakda
Rasakan ibu serta handai
Mengantarkan beta ke pangkalan kita.

Telah lenyap pokok segala
Bondaku tuan duduk berselimut
Di balik cindai awan angkasa
Jauh hati pun konon datang meliput.

Selat Melaka ombaknya memecah
Memukul kapal pembawa beta
Rasakan swara yang maha ramah
Melengahkan anakda janganlah duka.

Layang-layang terbang berlomba-lomba
Menuju pulau ke junjung tinggi
Dalam hatiku kujadikan duka
Menyampaikan pesan katakan hati.

Selamat tinggal bondaku Perca
Panjang umur kita bersua
Gobahan cembaka anakda bawa
Jadikan gelang di kaki bonda.

Gelang Cempaka pujaan dewa
Anakda petik di tanah Jawa
Akan bonda penambah cahaya
Akan Ibu penambah mulya.

Tuhanku Apatah Kekal?
Tuhanku , Suka dan ria
Gelak dan senyum
Tepuk dan tari
Semuanya lenyap, silam sekali.

Gelak bertukarkan duka
Suka bersalinkan ratap
Kasih beralih cinta
Cinta membawa wasangka ….

Junjunganku apatah kekal
Apatah tetap
Apakah tak bersalin rupa
Apatah baka sepanjang masa ….

Bunga layu disinari matahari
Makhluk berangkat menepati janji
Hijau langit bertukar mendung
Gelombang reda di tepi pantai.

Selangkan gagak beralih warna
Semerbak cempaka sekali hilang
Apatah lagi laguan kasih
hilang semata tiada ketara ….

Tuhanku apatah kekal?

Senyum Hatiku, Senyum
Senyum hatiku, senyum
Gelak hatiku, gelak
Dukamu tuan, aduhai kulum
Walaupun hatimu rasakan retak.

Benar mawar kembang
Melur mengirai kelopak
Anak dara duduk berdendang
Tetapi engkau, aduhai fikir, dikenang orang sekalipun tidak

Kuketahui, tekukur sulang-menyulang
Murai berkicau melagukan cinta
Tetapi engkau aduhai dagang
Umpamakan pungguk merayukan pernama.

Sungguh matahari dirangkum segara
Purnama raya di lingkung bintang
Tetapi engkau, aduhai kelana
Siapa mengusap hatimu bimbang?

Diam hatiku, diam
Cobakan ria, hatiku ria
Sedih tuan, cobalah pendam
Umpama disekam, api menyala.

Mengapakah rama-rama boleh bersenda
Alun boleh mencium pantai
Tetapi beta makhluk utama
Duka dan cinta menjadi selampai?

Senyap, hatiku senyap
Adakah boleh engkau merana
Sudahlah ini nasib yang tetap
Engkau terima di pangkuan bonda.

Teluk Jayakatera
Ombak memecah di tepi pantai
Angin berhembus lemah lembut
Puncak kelapa melambai-lambai
Di ruang angkasa awan bergelut.

Burung terbang melayang-layang
Serunai berseru “adikku sayang”
Perikan bernyanyi berimbang-imbang
Laut harungan hijau terbentang.

Asap kapal bergumpal-gumpal
Melayari tasik lautan jawa
Beta duduk berhati kesal
Melihat perahu menuju Semudera.

Musafir tinggal di tanah Jawa
Seorang diri sebatang kara
Hati susah tiada terkata
Tidur sekali haram cendera.

Fikiranku melayang entah ke mana
Sekali ke timur sekali ke utara
Mataku memandang jauh ke sana
Di pertemuan air dengan angkasa.

Di hadapanku hutan umurnya muda
Tempat asyik bertemu mata
Tempat ma’syuk melagukan cinta
Tempat bibir menyatukan anggota.

Fikiran lampau datang kembali
Menggoda kalbu menyusahkan hati
Mengingatkan untung tiada seperti
Yayi lalu membawa diri.

Ombak mengempas ke atas batu
Bayu merayu menjauhkan hati
Gelak gadis membawaku rindu
Terkenangkan tuan ayuhai yayi.

Teja ningsun buah hatiku
Lihatlah limbur mengusap gelombang
Ingatlah tuan masa dahulu
Adik guring di pangkuan abang?

Hang Tuah
Bayu berpuput angin digulung
Banyu direbut buih dibubung

Selat Melaka ombaknya memecah
Pukul-memukul belah-membelah

Bahtera ditepuk buritan dilanda
Penjajab  dihantuk haluan ditunda

Camar terbang riuh suara
Alkamar  hilang menyelam segara

Armada Peringgi  lari bersusun
Melaka negeri hendak diruntun

Galyas  dan pusta  tinggi dan kukuh
Pantas dan angkara ranggi dan angkuh

Melaka! Laksamana kehilangan bapa
Randa! Sibuk mencari cendera mata

Hang Tuah! Hang Tuah! Di mana dia
Panggilkan aku kesuma Perwira

Tuanku, Sultan Melaka, Maharaja Bintan!
Dengarkan kata bentara kanan

“Tun Tuah, di Majapahit nama termasyhur
Badannya sakit rasakan hancur!”

Wah, alahlah rupanya negara Melaka
Karena Laksamana ditimpa mara

Tetapi engkau wahai Kesturi
Kujadikan suluh , mampukah diri?

Hujan rintik membasahi bumi
Guruh mendayu menyedihkan hati

Keluarlah suluh menyusur pantai
Angkatan Pertugal hajat dihintai

Cucuk  diserang ditikami seligi
Sauh terbang dilempari sekali

Lela dipasang gemuruh suara
Rasakan terbang ruh dan nyawa

Suluh Melaka jumlahnya kecil
Undur segera mana yang tampil

“Tuanku, armada Peringgi sudahlah ekat
Kita keluari denganlah cepat

Hang Tuah coba lihati
Apakah afiat rasakan diri?

Laksamana Hang Tuah mendengar berita
Armada Peringgi duduk di kuala

Mintak didirikan dengan segera
Hendak berjalan ke hadapan raja

Negeri Melaka hidup kembali
Bukankah itu Laksamana sendiri

Laksamana, cahya Melaka, bunga Pahlawan
Kemala setia maralah  Tuan

Tuanku, jadikan patik tolak bala
Turunkan angkatan dengan segera

Genderang perang disuruhnya palu
Memanggil imbang wiramanya tentu

Keluarlah Laksamana mahkota ratu
Tinggallah Melaka di dalam ragu

Marya! Marya ! Tempik Peringgi
Lelapun meletup berganti-ganti

Terang cuaca berganti kelam
Bujang Melaka menjadi geram

Galyas dilanda pusta dirampat
Sabas  Melaka sukma di Selat!

Amuk-beramuk buru-memburu
Tusuk-menusuk luru-meluru

Lela rentaka berputar-putar
Cahya senjata bersinar-sinar

Laksamana mengamuk di atas puspa
Yu menyambar umpamanya nyata

Hijau segara bertukar warna
Sinau senjata pengantar nyawa

Hang Tuah empat berkawan
Serangnya hebat tiada tertahan

Cucuk Peringgi menarik layar
Induk dicari tempat berhindar

Angkatan besar mau segera
Mendapatkan payar  ratu Melaka

Perang ramai berlipat ganda
Pencalang berai tempat ke segala

Dang Gubernur memasang lela
Umpama guntur diterang cuaca

Peluru terbang menuju bahtera
Laksamana dijulang ke dalam segara ...

Ragu
Asap pujaan bergulung-gulung
Naik melingkar kakimu dewa
Rasanya hati melambung-lambung
Estu kupohonkan akan kurnia.

“Permaisurimu, Uma, sudah kupuja
Seroja putih beta sembahkan
Sekarang ini wahai Ciwa
Pada tuanku beta paparkan”.

Wajahnya arca berkilau-kilau
Bibir terbuka rupa berkata
Giginya tampak bersinar-sinar
Bunyi keluar merdu suara.

“Anakku dewi ratna juita
Apatah tersimpul di dalam dada
Uraikan tuan pada ayahnda
Rinduan mana mohonkan sempana?”

Wajahnya jernih gilang-gemilang
Sentosa semayam di atas durja
Padma seraga berbayang-bayang
Dikucupi cahaya pernama raya.

Hatinya dayang rasa terbuka
Suka dan ria silih berganti
Permohonan hati lupa segala
Kerana cahaya menimpa diri.

Bibir berpisah melepaskan pelukan
Suara lalu meninggalkan simpulan
Gadis berkata melayangkan rinduan
“Duli” tuanku patik pohonkan.

Bonda 1
Dalam sepu angin malam
Dalam gerak daun segala
Dalam angguk mawar kusuma
Bonda kulihat duduk bercinta.

Dalam tepuk air di batu
Dalam buai puncak kelapa
Dalam bisik kumbang menyeri
Bonda kudengar memanggil anaknda.

Pelangi membangun laksana perahu
Awan berarak bahtera ditiru
Bintang bertabur jempena serupa
Bonda kulihat duduk beriba.

Di dalam paya kumuda kembang
Di atas tampuk embun bergantung
Di dalam permata bonda terpandang
Duduk menangis menyesal untung.

“Buah hati jauh permainan mata
Hendak diseru suara tak daya
Hendak dipanggil kuasa takada
Duduklah bonda berhati iba ….

Hati di dalam berseru-seru
Mohonkan restu Tuhan suatu
Moga bertemu sejurus lalu
Dengan dikau bijimataku”.

Wah Bonda bagaimana menyeru
Gelombang Melaka umpama gelora
Aduh Bonda, mengapa merestu
Awan tebal laksana dewala.

Bunga mawar putih setangkai
Anakda petik di kaki Wilis
Di atas bumi Jawa raya
Akan penunggu telapakan Bonda

Bonda 2
Batu sungai terserak putih
Bintang bertabur gemerlapan cahaya
Dipalut pualam pelanggi persih
Peraduan ibu melepaskan duka.

Pohon kemboja tunduk temungkul
Memayungi ibu beradu cendera
Kusuma terapung tenggelam timbul
Di atas lautan angin daksina.

Harum bunga melenakan ibu
Sepoi angin mengulikkan bonda
Patik pun tunduk berhati mutu
Hendak pun menyapa tiada kuasa.

Dari jauh suara melambai
Rasa Bonda datang menegur
Di atas awan duduk serangkai
Dengan bintang angsoka hablur.

Bunga rampai di atas rimba
Air selabu di pangkuan dinda
Kami menangis tiada berasa
Terkenangkan ibu beradu cendera.

Bunga mawar bunga cempaka
Bunga melur aneka warna
Dipetik dinda di halaman kita
Akan penyapu telapakan bonda.

Air selabu patik bawakan
Dari perigi dipagari batu
Pada Bonda kami sembahkan
Akan pencuci telapakan ibu.

Dagang
Susahnya duduk berdagang
Tiada tempat mengadukan duka
Bondaku tuan selalu terpandang
Hendak berjumpa apatah daya.

Terlihat-lihat bonda merenung
Rasa-rasa Bonda mengeluh
Mengenangkan nasib tiada beruntung
Luka peceraian tiadakan sembuh.

Bonda pun garing seorang diri
Hati luka tiada berjampi
Nangislah ibu mengenangkan kami
Rasakan tiada berjumpa lagi.

Allah diseru memohonkan restu
Moga kami janganlah piatu
Aduh ibu, kemala hulu
Bukankah langit tiada berpintu?

Sudahlah nasib tiada bertemu
Sudahlah untung hendak piatu
Bagaimana mengubah janji dahulu
Sudah diikat di rahim ibu.


Mabuk
Di tayangan ombak bujang bersela
Dijunjung hulu rapuh semata
Dikipasi angin bergurau senda
Lupakan kelana akan dirinya ….

Dimabukkan harum pecah terberai
Diulikkan bujuk rangkai-rinangkai
Datanglah semua mengungkai simpai
Hatimu bujang sekali bisai.

Bulan mengintai di celah awan
Bersemayam senyum sayu-sendu
Teja undur perlahan-lahan
Mukanya merah mengandung malu.

Rumput rendah rangkum-rinangkum
Tibun embun turun ke rumpun
Lembah-lembah menjunjung harum
Mendatangkan kayal bujang mencium.

Melur sekaki dibuaikan sepoi
Dalam cahaya rupa melambai
Pelik bunga membawaku ragu
Lalu kupetik bunga gemalai.

Bunga setangkai gemelai permai
Dalam tanganku jatuh terserah
Kelopak kupandang sari kunilai
Datanglah jemu mengatakan sudah ….

Bulan berbuni di balik awan
Taram-temaram cendera cahaya
Teja lari ke dalam lautan
Tinggallah aku tiada berpelita.

Sunyi
Kuketuk pintu masaku muda
Hendak masuk rasa kembali
Taman terkunci dibelan pula
Tinggallah aku sunyi sendiri.

Kudatangi gelanggang tempat menyabung
Masa bujang tempat beria
Kulihat siku singgung-menyinggung
Aku terdiri haram disapa ….

Teruslah aku perlahan-lahan
Sayu rayu hati melipur
Nangislah aku tersedan-sedan
Mendengarkan pujuk duka bercampur.

Kudengar bangsi memanggil-manggil
Tersedu-sedu, dayu-mendayu
Tersalah aku diri terpencil
Badan dilambung gelombang rindu.

Duduklah aku bertopang dagu
Merenung kupu mengecup bunga
Lenalah aku sementara waktu
Dalam rangkum kenangan lama.

Rupamu teja serasa kulihat
Suaramu dinda rasakan kudengar
Dinda bersandar duduk bersikat
Aku mengintip ombak berpendar.

Imbau gelombang menyembahkan lagu
Kepada bibirmu kesumba pati
Pikiranku melayang ke padang rindu
Walaupun dinda duduk di sisi.

Kamadewi
Kembali pula engkau datang
Kepadaku di waktu sekarang
Tengah menjadi permainan gelombang
Gelombang terberai di bunga karang.

Lah lama kau kulupakan
Lah lampau bagi kenangan
Lah lenyap dari pandangan

Tetapi sekarang apatah mula
Apakah sebab, aduhai bonda
Ia datang menyusupi beta?

Kau ganggu hati yang reda
Kau kacau air yang tenang
Kau jagakan dewi Asmara
Kau biarkan air mata berlinang ….

O, Asmara kau permainkan aku
Laguan kasih engkau bisikkan
Gendang kenangan engkau palu
Dari kelupaan aku, engkau sentakkan.

Pujaan mana kau kehendaki
Persembahan mana kau ingini
Aduhai angkara Asmara dewi.

Gelak sudah beta sembahkan
Cinta sudah tuan putuskan
Apatah lagi dewi harapkan
Pada beta duka sampaian ….

Kamadewi! gendewamu bermalaikan seroja
Puadaimu padma-seraga
Tetapi aku sepanjang masa
Duduk di atas hamparan duka!

Kamadewi! tiadakah tuan bertanyakan nyawa?

Kenangan
Tambak beriak intan terberai
Kemuncak bambu tunduk melambai
Mas kumambang mengisak sampai
Merenungkan mata Kesuma Teratai.

Senyap sentosa sebagai sendu
Tunjung melampung merangkum kupu
Hanya bintang cemerlang mengambang
Di awang terbentang sepanjang pandang

Dalam sunyi kudus mulia
Murca kanda di bibir kesumba
Undung dinda melindung kita
Heran kanda menakjubkan jiwa

Dinda berbisik rapat di telinga
Lengan melengkung memangku kepala
Putus-putus sekata dua:
“Kunang-kunang mengintai kita” ….

Dalam Matamu
Tanahku sayang berhamparkan daun
Bersinar cahaya lemah-gemilang
Dari jauh datang mengalun
Suara menderu selang-menyelang.

Renggang rapat berpegang jari
Kita mendaki bukit tanahmu
Dinda berkabar bijak berperi
Kelu kanda kerana katamu.

Berhenti kita sejurus lalu
Berdekatan duduk sentosa semata
Hatiku sendu merindu cumbu
Kesuma sekaki abang kelana.

Hilang himbau air terjun
Bunga rimba bertudung lingkup
Kanda memangku Sekar Suhun
Lampai permai mata tertutup.

Remuk redam duka di dada
Dihanyutkan arus dewa bahagia
Menjelma kanda di bibir kesumba
rasa menginyam madu swarga.

Dalam matamu tenang sentosa
Kanda memungut bunga percaya
Japamantera di kala duka
Pelerai rindu di malam cuaca.

Dalam matamu jernih bersih
Kanda kumpulkan mutiara cinta
Akan tajuk mahkota kasih
Kanda sembahkan kepada Bonda.

Malam
Daun bergamit berpaling muka
Mengambang tenang di laut cahaya
Tunduk mengurai surai terurai
Kelapa lampai melambai bidai.

Nyala pelita menguntum melati
Gelanggang sinar mengembang lemah
Angin mengusap menyayang pipi
Balik-berbalik menyerah-yerah.

Air mengalir mengilau-sinau
Riak bergulung pecah-memecah
Nagasari keluar meninjau
Membanding purnama di langit cerah.

Lepas rangkum pandan wangi
Terserak harum pemuja rama
Hinggap mendakap kupu berahi
Berbuai-buai terlayang lena

Adikku sayang berpangku guring
Rambutmu tuan kusut melipu
Aduh bahagia bunga kemuning
Diri dihimpit kucupan rindu.

Berlagu Hatiku
Bertangkai bunga kusunting
Kujunjung kupuja, kurenung
Berlagu hatiku bagai seruling
Kukira sekalini menyecap untung.

Dalam hatiku kuikat istana
Kusemayamkan tuan di geta kencana
Kuhamburkan kusuma cempaka mulia
Kan hamparan turun dewi kakanda ….

Tetapi engkau orang biasa
Merana sahaja tiada berguna
Malu bertalu kerana aku
Ganjil terpencil berpaut ke dahulu.

Harum Rambutmu
Kupatah tangkai kusuma kukucup
Kendati mencari wangi asli
Cempaka tinggal tergulai lampai
Sayang tanganku hendak mencapai.

Teja! hanya cempaka ditayang daun
Aneka bunga menutup bumi
Impian lama datang mengalun
Karena kusuma kenangan diri.

Harum rambutmu terasa ada
Dalam bunga duduk tersembunyi
Suma mana ratna mulia
Kanda sibuk tengah mencari.

Pohon rendah dinaungi kemuning
Puteri dilindungi payung kembang
Bunga adinda kencana ramping
Irama kusuma abang seorang.

Wangi tertebar membawaku ragu
Mengembang abang ke hari lampau
Harum sepadan wangi rambutmu
Kalau terurai kita bergurau.

Melur! duta rindu di purnama raya
Kawan sendu di sunyi malam
Ratna rupa di hulu kemala
Penambah manis jiwa pendiam.

Berdiri Aku
Berdiri aku di senja senyap
Camar melayang menepis  buih
Melayah  bakau mengurai puncak
Berjulang  datang ubur terkembang.

Angin pulang menyejuk bumi
Menepuk teluk mengempas emas
Lari ke gunung memuncak sunyi
Berayun alun di atas talas.

Benang raja  mencelup ujung
Naik marak, menyerak corak
Elang leka  sayap tergulung
Dimabuk warna berarak-arak.

Dalam rupa maha sempurna
Rindu sendu mengharu kalbu
Ingin datang merasa sentosa
Menyecap hidup bertentu tuju.

Pada Senja
Mengembara senda pada senja
Rama bermain dalam cahaya
Kusangka sempurna dalam segala
Sayap kemerlap mengemas rupa
Ditayang kembang kelopak terbuka.

Dirinjau sinau diliputi wangi
Dijunjung tunjung tangkai gemelai
Berkobar-debar berahi diri
Digetar-gegar permai terberai.

Kutangkap rama berayun
Kupetik bersama daun
Kubawa kumuda warni
Kurangkai di sisi hati ….

Matahari menunjuk bentuk
Aku lalu harilah suntuk
Rama kencana tinggal tertunduk
Puas belum cinta diteguk ….

Dunia segara duka
tiada cinta selama muda
Derita rama remaja
Susah sepah tersia-sia

Naik-naik
Membubung badanku, melambung, mengawan
Naik, naik, tipis-rampis, kudus-halus
Melayang-terbang, mengembang-kembang
Menyerupa-rupa merona-warni langit-lazwardi.

Bertiup badai merentak topan
Larikan daku hembuskan badan
Tepukkan daku ke puncak tinggi
Ranggitkan daku ke lengkung pelangi ….

Tenang-tenang anginku sayang
Tinggalkan badan di lengkung benang
Reda(n)-reda(n)  badaiku dalam
Ulikkan sepoi sunyikan dendam.

Biarkan daku tinggal di sini
Sentosa diriku di sunyi sepi
Tiada berharap tiada meminta
Jauh dunia di sisi dewa.

Sumber: http://www.tengkuamirhamzah.com/
image by_arkatrine_the_unpure @deviantart